Mendepani Karya-Karya Hawari berahim

MENDEPANI KARYA-KARYA HAWARI BERAHIM

“I like nonsense, it wakes up the brain cells” – Dr. Seuss

Menjelang pameran solo rakan seperjuangan saya Hawari Berahim yang bertajuk Bukan-Bukan

Saya dan Hawari bukan kenal setahun dua. Saya cukup masak dengan perangai Hawari dan dia juga cukup kenal dengan karakter saya. Kami mula-mula kenal di tahun 2002 mendaftar di UiTM Machang dengan latar belakang berbeza – Ironinya, saya baru ditendang keluar dari UTM kerana pointer yang tak cukup, manakala Hawari berhenti kerja kilang di Pasir Gudang dengan niat sambung belajar untuk masa depan keluarga. Secara personal, saya lihat Hawari membawa disiplin, budaya (dan juga ego) dari kilang ke dunianya yang baru di UiTM. Saya memang tak suka Hawari semasa itu. Dia berlagak.

Hawari adalah anak lelaki sulung dalam keluarga. Kalau kamu tanya saya, Hawari memang mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang embedded dalam diri beliau. Saya tak pasti sama ada nilai ini dibentuk di Pasir Gudang ataupun dari kecil, cuma apa yang saya pasti kedudukan beliau dalam keluarga memang menyumbang kepada nilai ini. Selama saya mengenali Hawari, beliau memang menunjukkan sifat leadership yang tinggi. Beliau menunjukkan tanggungjawab kepada rakan-rakan yang lebih muda dengan cara beliau sendiri. Beliau sentiasa menjadi orang yang pertama membantu. Yang saya ingat, beliau pernah mendahului menangkap ular sawa ketika mandi di jeram dan membantu orang asing yang tertinggal kunci di dalam kereta dalam suatu hari yang sama.

Semasa rumah keluarga saya di Tanah Merah dilanda bencana banjir yang sangat teruk pada hujung tahun 2014, Hawari adalah kawan pertama yang datang menolong. Saya ambil peluang di sini untuk mengucapkan terima kasih sekali lagi. Sambil mengemas, kami ada menghasilkan projek fotografi banjir dengan pakaian-pakaian berlumpur. Mungkin dari situ dia mendapat ilham dan berkeras meminta saya menjadi model utama beberapa karya photo-collage beliau dalam pameran ini. Celaka betul.

Sepanjang perkenalan, saya dan Hawari banyak berkongsi cerita, masalah, rokok dan idea. Kami banyak menghasilkan projek-projek yang berjaya dan tidak kurang yang gagal sewaktu mendiami rumah di Seksyen 4 Shah Alam. Kolektif bayangan kami dengan nama ‘Bayang Art Group’ (kononnya!) masih lagi menjadi bayang-bayang! Pameran berkumpulan kami yang paling hip pula mungkin ‘Moment in Momentum’ yang berlangsung pada tahun 2013 di Galeri Chandan bersama beberapa rakan perjuangan lain. Dari pengalaman-pengalaman ini, mana mungkin saya tidak mengenali Hawari dari hujung rambut sampai ke hujung kaki.

Jika ditanya kepada rakan-rakan lain saya pasti mereka setuju jika saya sifatkan Hawari sebagai seorang yang suka mendahului, ringan tangan, egois, over-confident, rajin dan degil.

RAJIN DAN DEGIL

Gabungan dua sikap ini memang sukar dibendung. Ia tidak seperti ‘rajin dan diplomatik’ dan tidak juga seperti ‘malas dan degil’. Bagi saya kerajinan dan kedegilan Hawari ini adalah faktor yang penting dalam perkembangan seni beliau. Karya beliau bukan lahir dalam sekaligus. Kalau patah, disambung kembali, kalau pecah dibuat lagi. Selagi boleh, cabaran dan wang modal bukan penghalang – itu memang Hawari yang saya kenal.

Kadang-kadang, sifat degil beliau mendahului sikap rajin. Beliau akan berkeras pada satu teori tertentu, atau mereka-reka fakta-fakta tertentu dengan yakin. Dan biasanya, Hawari mampu membuktikan dia betul, melalui usaha dan kerajinannya. Bahagian ini, memang saya mengaku saya tak boleh challenge.

Tidak mustahil saya katakan, kewujudan pameran solo beliau yang pertama ini juga lahir dari sifat degil Hawari yang menanam cita-cita ingin menjadi artis berjaya di suatu masa nanti. Sejak dari awal-awal pembabitan dalam seni halus sehingga melalui pelbagai cabaran – survival dalam dunia seni – mencari kerjaya – beliau sentiasa menantikan peluang ini.

Dan beberapa tahun lalu, semasa kami sedang menuntut bersama dalam jurusan Seni Halus di UiTM Shah Alam, Hawari pernah berkata pada saya dalam nada yang serius, “Kalau kawe buat solo, kawe nok demo menulis dalam katalog kawe

KATALOG SOLO

Sepanjang pemerhatian saya berkaitan penulisan kuratorial atau esei dalam katalog seni, saya lihat kebanyakan penulisan bersifat ‘menepuk-nepuk bahu artis’. Kadang-kadang persoalan seperti ‘tidak cukup akademik’ atau ‘terlampau akademik’ menjadi semacam tanda aras untuk penulisan katalog. Sehinggakan kadang-kadang ayat-ayat bombastik, istilah-istilah yang artsy dan grandiloquence, dipaksa wujud melebihi niat ikhlas artis itu sendiri. Kurator dan penulis semacam berbangga kalau berjaya menimbulkan suasana penuh misteri yang tak terjawab dalam penulisan. Ini pendapat saya yang lima sen.

Namun, masalah ini sememangnya bersarang di kepala kami, lebih-lebih lagi sebagai pensyarah dan art practicioner dalam masa yang sama. Karya seni visual sentiasa dipertikai ‘nilai akademik’nya.

Mungkin juga silap kita, yang suka menulis hanya dengan berus lukisan. Mungkin juga nilai akademik hanya boleh dilihat pada tulisan-tulisan? Atau mungkin saja kebanyakan ahli akademik hanya mampu membaca tulisan, bukan simbol dan tanda.

Namun, peminat-peminat seni yang datang ke galeri tidak perlu miliki PhD. untuk membaca dan merasai pengalaman ‘menyaksikan’ itu sendiri. Teks di dinding yang sukar difahami, esei dalam katalog yang berat makna dan perlukan masa untuk dihadami. Ada pelbagai peringkat ilmu untuk setiap peringkat manusia di sesebuah pameran seni.

Saya kenal Hawari sebagai kawan lebih dari sebagai seorang artis. Saya kata kepada beliau, jika saya menulis untuk katalog beliau, saya akan menulis betul-betul mengenai Hawari yang satu itu, bukan mengenai karyanya. Dan saya akan tulis sama seperti cara saya menulis dalam blog saya. Saya tahu beliau selalu membaca blog saya secara senyap-senyap.

PROSES SENI HAWARI

Saya secara ikhlasnya tidak tahu fahaman seni mana yang Hawari anuti. Kadang-kadang beliau sangat konsepsual sampai karyanya pun tidak ada. Namun yang selalunya Hawari amat particular pada sisi teknikal sesebuah karya. Dia cukup pantang bila saya menghasilkan karya menggunakan bahan-bahan sementara seperti polisterin atau mounting board. Karya-karya catan minyak saya yang nipis bak watercolor juga kerap kali mendapat jelingan tak puas hati Hawari semasa belajar dulu.

Hawari memang mementingkan aspek kekemasan karya. Kamu mungkin tidak tahu, tetapi Hawari ada impian membuat rumah idamannya dengan menyusun batu-bata sendiri. Dan dia sangat meminati kemasan chrome arca Jeff Koons. Tiap-tiap kali Hawari meneliti karya orang lain terutamanya karya 3D – pasti ada persoalan seperti ‘berkarat ni nanti’ atau ‘silap dia ni, finishing teruk’ atau mungkin ‘berapa lama karya ni boleh tahan’. Saya pasti Hawari mahu pelawat-pelawat di pameran beliau berhenti terpesona dengan bentuk dahulu, sebelum mula menilai makna.

Pencarian bentuk dan makna Hawari mungkin bergerak selari, namun tetap akan bias kepada bentuk juga akhirnya. Saya cuba gambarkan proses berkarya Hawari dalam Diagram 1 di bawah. Dan juga saya harap pembaca-pembaca semua jangan lupa, bahawa kesemua pendapat saya ini hanyalah pendapat – yang terbit ikhlas dari hati saya

 Di petikan ini, saya teringat kata-kata pembikin filem legenda Indonesia, Garin Nugroho – “Idea muncul bila teknik tidak lagi menjadi hal”

WONDERLAND HAWARI

Dalam karya Lewiss Carroll yang masyhur, Alice’s Adventures in Wonderland, semua cerita yang dibentuk adalah berbentuk nonsense. Malah penulisan beliau juga dikenali sebagai ‘nonsense literature’. Kata orang, sesiapa yang mencari maksud tersembunyi dalam senario absurd penulisan beliau pasti akan putus asa. Unsur tidak relevan, tidak logik dan bukan-bukan malah menjadi tonggak utama idea secara keseluruhan. Teka teki mengarut Mad Hatter dan kemarahan tak menentu Queen of Hearts jika cuba dirungkai dalam perspektif orang dewasa mungkin tidak akan menghasilkan apa-apa maksud yang profound.

Kalau kamu pernah bersembang dengan Hawari di kedai kopi, kamu pasti tahu yang Hawari tidak ada fokus yang tetap semasa bercerita. Kadang-kadang dia bercakap semacam Tok Dalang wayang kulit yang sedang mabuk. Dari cerita asal, dia akan masuk ke cerita dahan, kemudian ke cerita ranting, dan kemudian masuk cerita asal semula. Tapi apa yang pasti point-pointnya selalu mengena. Idea-ideanya banyak yang bernas dan berpotensi.

Karya-karya Hawari ini dalam satu sudut pandang yang lain pula sangat provokatif persis ‘readymades’ si Marcel Duchamp – kadang-kadang mengingatkan saya seperti karya ‘Bicycle Wheel’. Kata Duchamp, semasa beliau menghasilkan ‘Bicycle Wheel’nya pada tahun 1913, ia hanyalah satu ‘distraction’. Tidak ada satu alasan untuk menghasilkannya, tidak ada niat untuk mempamerkannya dan tidak pula cuba menceritakan sesuatu.

Tidaklah pula saya katakan bahawa tiada analogi, agenda tersembunyi dan simbolisma dalam karya-karya hawari. Cuma hawari berpotensi besar menghasilkan karya yang non-objective. Karya-karya dalam Pameran Bukan-Bukan ini bukan kisah moral. Ia malah kisah yang lebih metafizik. Penceritaan beliau yang berpisah-pisah dan tidak bersambungan itu menuntut kita melihat dari sudut yang lebih besar. Mungkin Hawari mahu menyatakan bahawa jika tidak ada yang bukan-bukan itu, maknanya tak ada satu benda pun yang betul!

MENDEPANI KARYA HAWARI

Mungkin ini cara terbaik untuk mendepani karya Hawari.

Kalau ada teks-teks di dinding yang menulis apa yang Hawari cuba sampaikan, abaikan saja sebab boleh jadi dia menipu secara profesional. (Saya minta maaf siap-siap pada galeri, dan penulis-penulis lain dalam katalog ini! Haha)

Kalau kamu ingin mengikut pandangan saya, berhentilah membaca katalog sambil menyaksikan karya beliau. Jangan cuba-cuba mencungkil idea dari Hawari sendiri di majlis pembukaan pameran. Karya Hawari tidak akan bergantung pada kata-kata atau teks-teks linear yang disusun. Ia tidak ada kronologi, tidak ada garisan-garisan lurus. Ia teks visual yang tenggelam timbul dalam susunan teknikal yang terancang. Boleh jadi idea asalnya muncul dari fikiran beliau di zaman sekolah rendah dan digabung-gabungkan dengan idea yang muncul semalam. Boleh jadi.

Cadangan saya, nikmati karya-karyanya, hadamkan liuk lentuk bentuk-bentuk dan watak-watak dalam karya beliau, amati sambungan-sambungan besi yang dipateri dan resin-resin yang dicat. Gelak, kutuk dan kritik karyanya. Bak kata Duchamp, kitaran karya akhirnya akan dilengkapkan oleh audien itu sendiri. Untuk melengkapkan ‘nonsense’ Hawari, semua orang harus menyumbangkan ‘sense’ masing-masing untuk menilai.

Untuk sahabat saya Hawari, tahniah untuk pameran ini. Kami semua berbangga dan menyokong penuh usaha anda! Semoga sukses!

 

Haris Abadi Abdul Rahim,

Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan,

Universiti Malaysia Kelantan.

2 September 2016

 

 

 

View All

Leave a Reply