Memberi ‘HAYAT’

 

Kata Rumi, bukan guruh yang menghidupkan tumbuhan, tapi hujan. Pemeri-hatian yang dipacu oleh cahaya kasih dan belas, persis hujan. Ia menyubur dan menghidupkan. Ia memberi ‘hayat’.

MEMBERI ‘HAYAT’

Arafat Hambali pernah berguru dengan Noor Azizan Paiman. Gurunya itu pernah berguru pula dengan saya. Secara lahiriah, saya tidak rapat dengan Arafat. Saya lebih kenal Facebook dia, dari orangnya.

Tapi saya percaya, ada getaran batin halus yang menjodohkan tulisan ini dengan Arafat. Getaran itu jugalah, saya percaya, yang membina tautan jodoh seorang wanita dengan seorang lelaki.

Saya pernah berjumpa Arafat di Balik Pulau, Pulau Pinang. Waktu itu wajah dia berseri seperti ada cahaya memancar. Kulit dia yang gelap pun nampak cerah. Saya juga bertemu isterinya, wajah dia pun berseri.

Waktu saya termonolog “mungkin seri dari dua wajah ini adalah tanda dan prelud kelahiran.”

Jodoh, bila diper’hati’ dan di’hayat’, adalah laluan untuk kelahiran. Kelahiran dari cahaya kepada jasad atau badan, memakan masa 9 bulan. Tanahnya dimuliakan dengan panggilan ‘rahim’. Maksud rahim itu ‘belas’.

9 bulan cahaya yang menjadi jasad itu perlu dibelas sebelum dilahir. Laluan untuk kelahiran cahaya ini saya murnikan sebagai laluan hati dan laluan hayat. Jasad yang lahir dimuliakan dengan panggilan ‘cahaya mata’.

Bahasa kasarnya, anak. Indah dan halusnyanya orang Melayu, membahasakan ‘anak’ sebagai ‘cahaya’. Ia adalah ungkapan yang tepat dari segi fizik kuantum dan indah dari segi estetik.

Pada mata setiap ibu dan bapa, anaknya ialah ‘cahaya’ yg menerangi hidup. Cahaya halus yang bergetar tinggi itu bayangan Yang Maha Kasih dan Belas. Apabila mata seorang ibu atau bapa melihat dengan kasih dan belas, dia nampak ‘cahaya’ daripada Yang Maha Kasih dan Belas.

Dia tidak nampak jasad, benda atau objek kasar. Mata sebegini melihat, mengalami dan mengimani makna ‘hayat’. Itulah pandangan mata hati. Kata Imam Ghazali, kelahiran cahaya mata memerikan hati. Sebab itu melihat cahaya mata itu memerikan hati.
Dalam sebutan harian, kita guna istilah ‘perhati’. Melihat dengan mata hati yang kasih dan belas menampakkan cahaya. Cahayanya mencelik, memeri dan menerangi hati. Pada saya, perkataan ‘perhati’ atau ‘memeri hati’ itu indah. Tak pernah digunakan perkataan ‘memerotak’, atau melihat dengan fikir-fikir atau congak-congak ego akal (otak) berlebih-berlebih.

Melihat dengan mata hati yang belas, dimuliakan pula dengan istilah ‘prihatin’. Memberi lebih masa kepada sesuatu dengan penuh ‘keprihatinan’ dipanggil ‘perhatian’. Ibu dan bapa untuk cahaya mata yang baru lahir tentunya prihatin. Saya ringkaskan dengan panggilan ‘kehalusan 4 hati’ – perhati, prihatin, perhatian dan terang hati.
Hati terang akan nampak dan rasa kerahmatan dalam segala yang diperhati, tembus segala ilusi dan akrobatik gambar dan tulis.

Kata Rumi, bukan guruh yang menghidupkan tumbuhan, tapi hujan. Pemeri-hatian yang dipacu oleh cahaya kasih dan belas, persis hujan. Ia menyubur dan menghidupkan. Ia memberi ‘hayat’.

 

KEBUN JIWA HALUS, 5 April 2018. 7 Tingkat Permai 11700 Gelugor Pulau Pinang.

 

 

View All

Leave a Reply