Memahami Myth, Sign & Speculate Dalam Kaedah Kajian

MEMAHAMI MYTH, SIGN & SPECULATE DALAM KAEDAH KAJIAN

Oleh Iqbal Badaruddin

 

Pengenalan

Bercerita mengenai pameran Myths, Sign & Speculate (Mitos, Petanda dan Spekulasi) banyak memberi pelbagai tanggapan kepada penulis untuk cuba memahami makna disebalik tema tersebut. Setelah kerap kali berborak mesra dengan Sharul, penulis menganggap ia sebagai satu kaedah dalam menghasilkan atau menterjemahkan karya beliau dan Imam Santoso tentang kesan daripada Myths dan Speculative itu sendiri dan seterusnya mendapat ‘petanda’ (sign) untuk penghasilan karya terbaharu mereka. Petanda ini boleh jadi konklusi atau kesimpulan atau pemahaman atau impak atau sebab atau alasan untuk mereka berdua menghasilkan pameran bersama.

Oleh itu penulis menterjemah penulisan ini dengan pemahaman sendiri melalui kaedah kajian dalam menghasilkan sesebuah karya dalam pelbagai bentuk (form) samada visual, persembahan, grafik, kraftangan, penulisan, psikologi, sains dan teknologi, rekaan, antropologi atau strategi dan taktikal.

Antara Myths dan Speculative

Umumnya myths atau mitos merupakan sistem kepercayaan yang diwarisi secara berzaman dalam membina satu tafsiran dan merapatkan jurang seseorang individu dengan masyarakat sekeliling. Menurut David Graft, masyarakat Yunani mengangkat martabat seseorang yang hebat dengan mistik melepasi para bangsawan, tokoh falsafah dan peramal kerana dipercayaai mempunyai hubungan rapat dengan alam semulajadi, masyarakat dan para dewa (1988). Claude Calame (1996) pula berpendapat mitos bukanlah entiti yang berkait-rapat dengan kewujudan ontologi tetapi merupakan pengaruh dari Barat yang berasal semasa zaman Enlightment, iaitu satu gerakan yang berasal dari Eropah sekitar abad ke-17 yang menekankan sikap keperibadian individu mengatasi tradisi kemasyarakatan. Ada pendapat pula menyatakan sesetengah tokoh falsafah setuju bahawa mitologi merupakan konsep asas dalam menzahirkan perasaan seseorang individu dalam sesebuah masyarakat seperti sayang, marah, iri hati, rindu, dendam, syukur dsb. Perasaan ini kemudiannya dizahirkan melalui pemerhatian mereka terhadap alam sekitar seperti astronomi ataupun meteorologi (Strauss, 1955). Kenyataan Strauss ini sedikit sebanyak menjurus kepada animisme yang menjadi satu fenomena sehingga kini.

 

“Myth is a system of communication, that it is a message”. – Roland Barthes (1984), Mythologie

Bouvrie (2001) mempercayai bahawa kesan mitos atau pengkajian mitologi merupakan pengaruh psikologi yang menjurus kepada ‘Mythical phenomena’ atau fenomena mitos/dongeng yang telah menjana pemikiran manusia atau ‘Mythical mind’. Perkara tersebut memberi penjelasan tentang kewujudan mitos sebagai sub-spesis kepada fenomena simbolik, iaitu proses yang membentuk tenaga kompleks dalam mengekalkan kebudayaan sesebuah tempat. Walaubagaimanapun, Strauss menerangkan yang istilah mitos termasuk dalam kajian mitologi dan sebahagian dari ‘Linguistic Phenomena’ atau fenomena pengajian bahasa yang meliputi formula ‘Traduttore’ atau ‘Tradittore’ iaitu merujuk kepada nilai kebenaran yang belum pasti kesahihannya. ‘Traduttore’ atau ‘Tradittore’ merujuk kepada bahasa Itali yang bermaksud juru bahasa atau penterjemah atau orang yang membuat tafsiran.

Spekulasi atau spekulatif pula merupakan satu pemikiran yang tidak mempunyai fakta atau ketepatan sesuatu isu tertentu. Contohnya propaganda, pengaruh, tanggapan mahupun tafsiran yang bersifat sementara atau boleh berubah setiap masa. Ia juga dikaitkan dengan pelaburan yang berisiko samada boleh memberi keuntungan atau sebaliknya. Namun spekulasi berkait dengan pelbagai aspek selain pelaburan.

Pada pendapat Dunne dan Raby (2013), spekulasi/spekulatif adalah imaginasi dan kebolehan berfikir sehingga mencapai peringkat alam yang berlainan. Menurut mereka lagi, Keith Oatley menerangkan bahawa spekulasi/spekulatif adalah imaginasi, dan melalui imaginasi ia dapat membawa manusia berfikir secara abstrak melalui kiraaan matematik. Auger (2014) pula menyatakan dengan mengamalkan rekaan berunsur spekulasi/spekulatif sebagai satu kaedah dan strategi, dalam mendefinisikan bagaimana meramal teknologi baharu dengan kombinasi dari filem, sastera, ekologi, komedi dan psikologi secara teknikal. Kaedah ini dikenalpasti dapat dikembangkan segala aspek teknologi masa depan dengan akal logik. Hal ini dipersetujui oleh Mette Kjarsgaard dan Laurens Boer (2015) dimana wujudnya rekaan spekulasi/spekulatif (speculative design) dan rekaan kritikal(critical design) boleh berfungsi luar dari konteks rekaan norma dan berkembang tanpa sokongan dari fahaman yang sama. Malah 2 unsur tersebut boleh diterajui melalui kajian seterusnya oleh generasi akan datang.

Nathan Brown (2011) pula dalam kajiannya terhadap penulisan Hallward, mengutarakan dua unsur merupakan perbezaan antara Materialisme Dialektic (Dialectical Materialism) dan Materialisme Spekulasi/Spekulatif (Speculative Materialism) namun saling berkait dari segi sejarah atau kisah lisan, fakta khusus atau tanpa disokong oleh mana-mana fakta. Speculative Materialism adalah satu gerakan falsafah kontemporari yang menekankan Realistik Metafizik yang menentang pembentukan falsafah pasca-Kantian. Manakala Dialectical Materialism adalah teori dari Karl Marx berikutan isu politik dan fakta sejarah yang telah memberi kesan kepada konflik sosial dan dikenalpasti sebagai salah satu siri penyelesaian masalah. Konflik ini dipercayaai berpunca dari tuntutan duniawi semata. Dalam buku yang sama, penulisan dari Gabriel Catren (2011) bertajuk Outland Empire: Prolegomena to Speculative Absolutism, menyatakan terdapat 4 konsep yang berasas dari idelogi German iaitu Absolute (nyata), The System (falsafah), Phenomenology (semangat) dan Knowledge (pengetahuan).

Sign dalam Seni Visual

Sign atau tanda/petanda adalah salah satu cabang dalam falsafah Semiotik. Dalam falsafah Semiotik ini, Saussure mengkelaskan kepada Sign, Signified dan Signifier (Chandler, 2007) berbanding Peirce yang banyak menekankan Simbol, Ikon dan Indeks. Umumnya istilah Sign ini memberi pelbagai makna yang dipengaruhi dari latarbelakang tempat dan pendidikan kerana perbezaan budaya, bahasa komunikasi, psikologi dan media. Ironinya tidak semua perkara memberi makna yang sama walaupun terdapat beberapa simbol yang menjadi penanda dikongsi diseluruh dunia. Contohnya 3 warna pada lampu isyarat atau logo atau bentuk ‘heart’ atau simbol jari tengah atau perkataan ‘Like’, atau lambang salib atau Kaabah berbentuk kotak atau tanda merah di dahi atau penggunaan topi dan jambang kerana sesetengahnya dipengaruhi oleh agama dan kepercayaan, ideologi, fakta dan politik, warisan dan tradisi, hikayat dan sejarah, ataupun teori Eksistensionalism.

Seseorang pengkarya tidak perlu risau tentang penerimaan audience (penonton) terhadap karya yang dihasilkan kerana karya seni itu sendiri sangat subjektif dan mereka (audience) bebas membuat interpretasi sendiri kerana fahaman Semiotik itu sudah cukup untuk memberitahu kita tentang pemikiran dan pendapat setiap manusia adalah berbeza.

Merujuk kepada rajah 01, penulis berpendapat kedua-dua artiste ini merungkai persoalan mereka samada melalui Myths atau Speculative dan membuat kesimpulan dengan menghasilkan karya melalui Sign. Peta minda tersebut adalah satu kaedah dalam memudahkan penulis sendiri untuk menghuraikan bagaimana dua pertain tersebut saling berkait namun ‘diringankan’ melalui bantuan Sign untuk langkah-langkah seterusnya. Manakala kaedah kajian dalam seni visual lebih tertumpu tentang hal-hal mengenalpasti sesuatu konsep atau permasalahan dan bagaimana merungkai permasalahan tersebut sebagai hasil kajian (findings) seperti yang diutarakan oleh Noble dan Bestley dalam buku Visual Research: An Introduction to research Methodologies in Graphic Design (2005);

 

Rujukan

Auger J. (2014), Speculative Design: Crafting The Speculation, Royal College of Art, Digital Creativity, DOI:10.1080/14626268.2013.767276, Retrieved from http://dx.doi.org/10.1080/14626268.2013.767276

Barthes R. (1984), Mythologies, Myth Today, NY.

Brown N. (2011), The Speculative & The Specific: On Hallward and Meilassoux (pg.142) in The Speculative Turn: Continental Materialism & Realism, Re-Press, Melbourne.

Chandler D. (2007) Semiotic: The Basic (2nd Edition), Taylor & Francis e-Library, retrieved from www.eBookstrore.tandf.co.uk.

Dunne A. & Raby F. (2013), Speculative Everything: Design, Fiction and Social Dreaming, The MIT Press Cambridge, Massachusetts, London.

Gabriel C. (terjemahan oleh Taylor Adkins), (2011), Outland Empire: Prolegomena to Speculative Absolutism (pg.334) in The Speculative Turn: Continental Materialism & Realism, Re-Press, Melbourne.

Levi-Strauss C. (1955), The Structural Study of Myth, Myth: A Symposium, published in The Journal of American Folklore, October 1955, retrieved from http://www.jstor.org/stable/636768.

Marks A (2011), Writing for Visual Thinkers: A Guide for Artistes and Designers (2nd Edition), New Riders, Berkeley, CA.

Mette G. Kjaersgaard & Boer L. (2015), The Speculative & The Mundane in Practices of Futuremaking – Exploring Relations Between Design Anthropology & Critical Design, paper seminar ‘Collaborative Formation of Issues, January 2015, The Research Network for Design Anthropology, U. Southern, Denmark.

Noble I. & Bestley R. (2005), Visual Research: An Introduction to Research Methodologies in Graphic Design, Ava Publishing, Lausanne, Switzerland.

 

View All

Leave a Reply