Kapallorek dan lapan tanda tampak anak seni . . .

Ketika penulis memasuki Ruang Seni Kapallorek, penulis tersenyum bangga. Seorang anak muda Fadly Sabran mengetuai langkah kanan untuk menghidupkan aktiviti seni visual di Bandar seri Iskandar. Teringat penulis semasa berhijrah ke Seri Iskandar kami berusaha memajukan kegiatan seni visual didalam universiti, khususnya uitm perak. Dari berpameran di peringkat fakulti ke kebangsaan hinggalah ke peringkat antarabangsa kami berjaya mengorak langkah sehingga ke suku bahagian  dunia. Kami cuba tubuhkan beberapa studio bagi menyemarakkan usaha tersebut. Diantaranya Studio Kantan oleh Hamdan Shaarani, Studio Kawtsar oleh Zainon Abdullah dan Studio Studio Sarang Rupa oleh Hamidi Hadi.

Sekalung tahniah dan syabas kepada Fadly Sabran dan rakan-rakan yang berusaha untuk menghidupkan aktiviti seni visual dengan penubuhan Ruang Seni  Kapallorek . Usaha murni ini menjadi wadah pemangkin ilmu kesenian visual yang berharga untuk dijadikan rujukan dan inspirasi penghasil dan peminat seni. Apatah lagi dengan membuka galeri seni visual dikawasan yang belum tentu ada pengumpul seni untuk tujuan menghidupkan dan menjalankan aktiviti seni. Usaha rintis ini merupakan usaha berani yang berjuang untuk menghidupkan kegiatan seni visual dengan berbekalkan semangat kental dan keuntungan yang berupa kebajikan dan khidmat sosial.

Pameran ini mengenegahkan karyawan yang terdiri daripada Hazrul Mazran, Noor Enfendi Desa, Farizal Puardi, Ermi Syahira, Siti Humaini,  Fadly Sabran,  Izzal Khairi dan Noor A’yunni.

Hazrul Mazran dengan karyanya

Hazrul menghasilkan cetakan potongan kayu. Melalui karya  ini beliau menggunakan imej daun terup, dimana watak badut diketengahkan berlatar belakangkan kalendar.  Watak  badut tersebut merupakan pelawak dimana dalam permainan terup watak tersebut boleh merentasi sempadan dan menjangkau dari luar kebiasaan. Watak tersebut merupakan rakaman beliau terhadap peristiwa semasa yang berlaku secara global.Sebahagian  dunia kini dikuasai oleh kuasa badut yang tiada mempunyai sempadan kebenaran. Kehidupan dan kuasa adalah dua  perkara yang digandingkan dengan cita-cita. Cita-cita pula digandingkan dengan kekayaan dan kemewahan. Tepatlah sepertimana firman Allah bahawa kehidupan dunia ini adalah umpama permainan yang melekakan,jika sekiranya kita tidak bermain dijalan yang benar.

Noor Enfendi bersama Karyanya

Kerusi empuk berlatarbelakangkan warna merah muda adalah persoalan yang cuba dilontarkan oleh karyawan affendi. Beliau mempersoalkan adakah kedudukan dikerusi tersebut begitu selesa selari dengan keempukan kerusi itu. Kerusi yang menjadi simbol perebutan kuasa  terutamanya di kalangan  ahli politik itu adakah untuk keselesaan, kemewahan dan kuasa. Ataupun kerusi tersebut disimbolkan sebagai kedudukan,tanggungjawab dan ketakutan terhadap beban amanah yang dipikul.

Farizal Puadi bersama karya “Permanent Collection”

Farizal Puardi pula menghasilkan karya bertajuk “ Permanent Collection” . Dengan menggunakan  bentuk 3 dimensi tabung sebenar, beliau membuat kombinasi dengan frame berwarna emas . Tabung tersebut diletakan diatas laci dimana terdapat buku akaun lama diatasnya. Pada bahagian laci tersebut juga digantung watak badut. Tabung yang menyerupai tabung haji tersebut adalah mesej Farizal tentang simpanan kewangan  yang diamanahkan oleh penyimpan dimana  tanggungjawab atau amanahnya sangat lah besar. Bingkai berwarna emas pula merupakan garapan beliau tentang amanah yang sangat berharga dalam kehidupan. Karya beliau ialah kiasan tentang sebuah masa  kini dimana ada ketikanya amanah sudah tidak lagi bernilai.Watak badut pula adalah sindiran tajam farizal terhadap pemegang amanah.  seperti mana pernyataan pelukis  melalui ayat Al Anfal, 27 “ wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasulnya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahuinya (salahnya).

Ermi Syahira bersama karyanya

Karya Ermi Syahira pula membawa pemerhati melangkaui dunia kanak-kanak. Dunia kanak-kanak yang dihiasi dengan warna-warna terang mengambarkan  kegembiraan, keceriaan dan sifat lurus jujur kanak-kanak . Karya ini mengisahkan tentang kehidupan dan kasih sayang, tentang kehidupan dan kejujuran, tentang kehidupan dan kebenaran. Latar tengah yang berwarna warni dikontraskan dengan latar hadapan hitam putih, adalah tanda sifat hitam dan putih yang cuba di ketengahkan oleh pelukis sebagai inti kehidupan kanak-kanak yang “naïve”. Sifat hitam dan putih merupakan sifat jujur  lurus kanak-kanak yang tidak pandai berpura-pura.

Siti Humaini bersama catannya

Siti Humaini menggunakan komposisi karya semi abstrak dimana beliau menggabungkan motif tumbuhan dan elemen seni bina rumah melayu. Menggabungkan imej tingkap rumah lama dan  corak hiasan diatas kepala tingkap, Siti mengajak kita untuk mendalami nilai-nilai murni kehidupan masyarakat tradisi yang mementingkan nilai hidup, sifat kasih sayang dan bersopan santun antaranya. Gabungan warna-warna lembut dan panas adalah luahan pelukis terhadap sifat-sifat tersebut. Gaya hidup yang sederhana, tidak terlalu mengejar kemewahan dan muafakat adalah ciri-ciri penting masyarakat tradisi.

Karya seni video “Technologue” oleh Fadly Sabran

Fadly Sabran menggunakan medium video sebagai pengantara karyanya. Beliau melontarkan isu semasa dimana manusia bertembung dengan teknologi. Peperangan diantara  manusia dan teknologi khususunya teknologi maya boleh menjadikan manusia berbunuhan. Kuasa besar disebalik teknologi menjadikan teknologi maya sebagai batu loncatan untuk membentuk dan membenarkan persepsi yang mereka bina. Persepsi belum tentu ada kebenaranya di tanam dalam minda dan dijadikan makanan harian untuk membenarkan persepsi. Manusia berlari didalam video pertama adalah kiasan fadly terhadap kehidupan kita yang melalui detik-detik kehidupan moden, sementara titik-titik air yang kehilangan dalam video kedua merupakan simbolik kepada ketirisan sebuah kehidupan berpaksikan teknologi  maya.

Izzal Khairi bersama karyanya “King N Kong”

Izzal menggabungkan imej popular daripada filem king kong.King kong ialah sejenis makhluk kecil iaitu gorila, tetapi telah diperbesarkan dan dijadikan satu fanomena oleh barat. Melalui karya ini Izzal menonjolkan pertembungan watak king dan kong yang merupakan kuasa besar. Pertembungan kuasa besar yang diwakili oleh king dan kong hitam putih adalah simbolik pada kuasa baik dan jahat. Kuasa jahat dan baik ini kadang-kadang dicipta oleh mereka untuk tujuan monopoli kuasa dan ekonomi. Mereka memperbesarkan perkara-perkara kecil dan dijadikan satu persepsi. Persepsi tersebut ditanam didalam minda masyarakat sehingga perkara yang salah pun dipercayai betul. Mereka melagakan kuasa seumpama permainan  sarkas, dimana pertembungan yang melibatkan nyawa sekalipun bagi mereka adalah sebuah sarkas.

Karya Noor A’yunni

Melalui karya” I don’t want to be alone“I  A’yuni menggunakan metafora baju keluarga dan kanak-kanak  yang  beliau  komposisikan diatas sebuah kerusi. Baju-baju tersebut disusun secara berselerak adalah rakaman dan pembekukan sebuah momentum  peristiwa. Peristiwa dimana kehidupan berkeluarga itu sangat berbeza, berbanding dimasa kesaorangan dahulu. Bertapa bernilainya sebuah kasih sayang keluarga dimana yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing. Baju dan kerusi tersebut dicatkan dengan putih adalah tanda visual sebuah keluhuran dan kusucian sifat kekerluargaan,sifat toleransi dan sifat bertolak ansur.

Suasana semasa pembukaan pameran

Suasana semasa pembukaan pameran

Pameran di rasmikan oleh Pn Nur hanim Khairuddin

 

 

Pameran ini memaparkan luahan rasa anak muda melalui pelbagai sifat dan media karya. Mereka adalah sebahagian dari masyarakat yang mengambil seni sebagai bidang kegiatan kehidupan seharian.Samada pengiat seni, jurutera,doktor ataupun penoreh getah kita semua adalah sama . Kita sama-sama  berperanan penting dalam muafakat kehidupan sebuah keluarga besar. Sifat jamaah dan saling menghormati, berkasih sayang dan bantu  membantu diantara satu  sama lain akan menjadikan hidup kita dipandang mulia oleh Allah. Apatah lagi jika ahli seni, ahli doktor, ahli jurutera dan ahli penoreh getah semuanya berzikir kepada Allah semasa mereka berkarya atau bekerja. Tambahan pula apabila kedengaran azan kita memberhentikan karya atau kerja kita lalu menunaikan solat diawal waktu, itulah  kejayaan kita menunggang dunia untuk menuju ke negeri akhirat. Wassalam.

 

ZAINON ABDULLAH

Kurator
5 Januari 2016

View All

Leave a Reply