Coretan Kechil Untuk Arafat

CORETAN KECHIL UNTUK ARAFAT

Pada 11. 1. 2018, jam 11.54 pagi aku dapat ‘pesanan teks’ dari sahabat; Arafat Hambali. Dia minta aku menulis bagi pameran solo pertamanya (insyallah bukan terakhir) yang akan diadakan pada 19 April 2018 di Kapallorek Artspace, Seri Iskandar.

Adoi! aku ingatkan dia bergurau dan aku tak ambil port sangat permulaannya, tapi rupa-rupanya ini bukan ‘main-main’. Serius permintaannya. Aku menepis tak mau menulis, maklumlah aku ni ‘tak pandai’ takut jika menulis jadi ‘memandai’ sahaja.

Dalam dunia ni ramai kenalan aku yang ‘pandai-pandai’ dan aku menyuruh dia cari saja orang lain yang lebih layak daripada aku. Tapi dia tetap nak suruh aku tulis. Haram jadah punya Arafat!

Dia ni degil sungguh dan memeningkan kepala aku, bukannya dia tak tau yang aku ni pengkarya hanya berstatus ‘TUKANG’ bukannya ‘PEMIKIR MINYAK CAP KAPAK’! Tapi Arafat tak serik memujuk aku, lantas dengan perasaan merendah diri beliau menerangkan mengapa aku perlu mencoretkan sesuatu bagi pameran sulungnya itu.

Beliau menyuruh aku meneliti kembali alir kata dalam buku puisinya bertajuk ‘KEPAK-KEPAK MALAM DARI SORGA’ yang diterbitkan oleh SeLUT PRESS (2016). Terasnya pada puisi yang bertajuk ‘Jamak Baka’ yang ‘dilukis’ khas untuk aku sebagai matan gurunya.

Setelah meneliti dia suruh aku ‘mencoret’ kembali dengan penuh keikhlasan, apakah ‘jiwa’ aku terasa dengan puisi yang dia ‘lukis’ itu dan ceritakanlah kepada penonton apakah kandungan isinya mengikut pandangan aku. Makanya aku cuba menyantuni kembali penceritaannya;

Jamak Baka

Dari “Akhir Yang Awal”

“mengembara jiwa di Fukouka”

Kami berjabat sapa

Mengukir senyum, falsafi bicara.

Berpurnama sudah batinku terdera gelora

Bertamsil muhasabah semahu

Coba mencari khilafku

Seberapa celaka.

Antara mengapa

Dan kenapa.

Di antara seorang matan guru dan anak muridnya,

Ada sebuah resah yang menjadi kisah.

Di antara seorang matan guru dan anak muridnya,

Maseh pun ya sebuah tugu kaseh.

2013

Perenggan 1

Aku berjumpa Arafat serta rakan-rakannya di majlis perasmian pameran di Galeri Chandan pada tahun 2013. Mereka ini pernah aku mengajar di peringkat diploma di Seri Iskandar, sekitar tahun 2007. Seperti biasa apabila mereka menegur dan bersalaman dengan aku dan kami ‘melabun’ dengan penuh mesra.

Topik ‘labunan’ kami bermula dengan pertanyaan, “korang buat apa sekarang? Masih berkarya ke?” Selepas soalan itu satu persatu jawapan yang aku peroleh daripada mereka dan paling menarik dari si Arafat.

Kawan-kawan kata dia kini jadi sasterawan. Bila kawan-kawan dah kata begitu makanya bertubi-tubilah soalan aku padanya, tapi ‘steady’ saja menjawabnya berserta ‘package’ isunya sekali. Bila dia terangkan ‘package’ isu yang terkandung dalam puisinya itu, aku terasa ‘ralat’ dan ‘naik angin’ secara ‘automatik’ dan lantas mulut aku terkeluar pertanyaan.

“Kenapa engkau tidak buat karya seni tampak juga dengan benda haram jadah ni!”

Dia ‘steady’ menjawab, “guru kami tidak berkenan sebab karya berbaur politik!” Mulut aku ‘automatik’ menjadi ‘celupar’ lalu berkata kepadanya “Kalau aku tau minat engkau macam ni dari dulu, demi Allah dan Rasul, aku cuba carikan jalan bagi engkau merealisasikan karya begini” Perbualan kami berakhir dengan penuh kemesraan dan akhirnya aku meminta maaf andaikata selama ini aku telah menguris hati mereka.

Setelah beberapa minggu Pali, Arafat dan rakan-rakan ‘mengulangi’ perjumpaan tempohari, kali ini mereka mengunjungi aku di ‘Ruang Kasih’ (kediaman aku di Seri Manjung). Seperti biasa aku bersama isteri melayan tetamu dengan penuh ‘kasih sayang’, maklumlah bekas pelajar dan andaikata mereka datang dari jauh hanya untuk bertemu dengan aku makanya bersyukur aku pada Allah yang mengerakkan hati mereka ke sini.

 

Perenggan 2

Daripada perenggan ini aku merasakan semasa aku mengajarnya dulu mungkin ‘bunyi hati’ si Arafat ni begitu ‘meluat’ dengan aku. Arafat engkau boleh beribu kali berkecil hati dengan aku, tapi engkau kena faham aku diberi tanggungjawab bagi mendidik anak bangsa aku supaya sama tinggi dengan bangsa lain.

Bangsa lain tak dapat macam apa yang korang dapat dan paling sedih depa ni membayar cukai untuk korang ‘ngaji’. Jadi ayat paling tepat korang belajar ni ‘subsidi’ dari (belas ehsan secara paksaan) orang bangsa lain, so faham-faham lah!

Korang bagus tapi biasalah ‘darah muda’ mesti ‘membangkang’, tapi aku pun bukan ‘malaikat’ dan aku ni perangai tak senonoh juga. Biasalah aku pun muda juga ketika itu, tapi kini aku lebih ‘cool’ setelah ‘didakwa’ oleh ibu kepada bekas pelajar. Dia menuduh aku tidak dapat mengawal emosi setelah bini aku ‘gugur’ anak ketiga, disebabkan pekara itu aku ‘senang-senang’ menggagalkan anak kesayangannya (sebenarnya mamat tu tak hantar projek akhir). Itulah ‘nilai’ amanah yang harus aku bayar!

Perenggan 3

Arafat harap engkau dan rakan-rakan faham dengan istilah ‘ketegasan’ semasa korang di bawah tanggungjawab aku. Aku suka dengan falsafah institusi yang aku berpayung yakni setiap orang mempunyai bakat dan andaikata bakat itu digilap dari penerapan ilmu timur dan barat, insyallah korang akan berjaya.

Perenggan 4

Aku kini beranggapan korang semua (Arafat, Ida, Ruhi dan mak bapa engkau) adalah sebahagian ‘Tugu Kasih’ kami di ‘Ruang Kasih’, santunilah kami selamanya.

Harap dialog aku bersama engkau dalam pendekatan ‘membela diri’ dalam ‘mahkamah kehidupan’ sebanyak empat perenggan ini dapat membuat hati engkau tidak ‘berkocak’ dalam alam kemarahan lagi. Aku kini lebih meletakkan engkau di ‘para’ sebagai ‘sahabat’ berbanding dengan ‘matan guru’. Setelah engkau sungguh-sungguh nak suruh aku tulis, makanya yang segala-galanya yang aku tulis kat belah atas hanyalah ibarat imajan ‘pohon beringin’ sebagai ‘pembuka wayang’.

Kini dengan rasa rendah diri aku nak mintak izin dengan engkau untuk menjadi ‘TUKANG KARUT’ bagi menceritakan benda ‘MENGARUT’ dan mungkin dalam bahasa ‘MENCARUT’ secara fiksyen berpaksikan tajuk besarnya ‘NASIHAT DARI TUKANG’.

NASIHAT DARI ‘TUKANG’

Arafat aku pernah berbual dengan engkau berkenaan seni sastera dan seni rupa. Perbualannya secara berseloroh dan diselang-seli dengan topik yang lucu mahupun serius. Ada kalanya kita menghargai karya yang ‘berpasak’ (mengikut pengisian jiwa kita) dengan pelbagai ‘sebutan’ dalam bentuk ‘bersopan’ mahupun ‘kurang ajar’.

Bagi sesetengah pihak yang tidak memahami ‘pola kehidupan’ yang kita ‘amati’ secara ‘fizikal’ dengan tidak menggunakan coretan kata-kata dari ahli-ahli ‘falsafah agung’ sebagai pelantar ‘pengucapan’. Akhirnya me‘REKA’ meletakan kita tidak lebih sebagai ‘ahli silap mata’ berstatus ‘TUKANG’ tetapi secara umum.

Sepatutnya me‘REKA’ perlulah secara specifik meletakkannya secara ‘ilmiah’, ‘TUKANG’ jenis apa yang dimaksudkan, adakah ‘TUKANG’ karut? Ampu? Jilat? Report? Pencacai dan macam-macam lagi.? Aku tak mau ambil ‘port’ sebab dah faham sangat ‘pola’ aktiviti seni rupa kat keliling kita. Izinkan si ‘TUKANG’ ini melabun secara riadah bagi membicarakan persoalan seni dalam jiwa yang bebas mengikut gerak hati aku.

Dalam kehidupan ini kita melalui pekara yang baik mahupun sebaliknya, tetapi engkau perlu ingat kata nama ‘baik’ dan ‘tidak baik’ itu hanyalah sebutan yang mewakili sesuatu kepercayaan yang tidak bersifat mutlak. Aku mula berkarya pada awal 1990an dan dalam proses membina ‘jati diri’.

Aku bertemu pelbagai jenis orang seni. Pertemuan itu dijalankan secara akademik dan juga bersantai. Lokasinya di institusi seni rupa tempat aku dilatih mahupun dalam pameran-pameran berskala besar, sederhana, mahupun kechil. Kebanyakkan dari mereka ini ‘baik-baik belaka’ namun dalam kebaikan itu diselitkan juga ‘indoktrinasi ideologi’ mengenai ‘mahzab-mahzab’ seni rupa yang yang me‘REKA’ santuni.

Maka dengan itu terwujudlah ‘rasul-rasul’ seni rupa mengikut mahzab yang dianuti, lantas terbentuklah kitab ‘hadis-hadis sahih’ bagi menyanjungi kepercayaan mereka. Secara tidak sedar mereka mengambil peranan ‘tuhan’ bagi menentukan ‘dosa’ dan ‘pahala’ (boleh diacukan samada ‘lulus’ atau ‘gagal’ lah!) mengikut ‘kitab’ yang mereka agungi. Begitulah sedikit coretan secara ‘cakar ayam’ aku mengenai hakikat persoalan seni rupa dilubuk ini, kebiasaannya ucapan me‘REKA’ yang mempunyai ‘darjat’ seni ini harus dipisahkan ruangnya diantara mereka yang ‘tolol’ dan ‘pandai’.

Arafat perasaan aku terasa panik bercampor syukur apabila mendapati engkau akhirnya membuat keputusan menyantuni kembali pekara yang engkau tangguhkan selama ini, yakni mencantumkan minat mendalam engkau terhadap seni sastera/rupa. Kedua-duanya engkau ‘pandai’ dan engkau ‘tidak memandai’, aku tau kau cuba menjadi ‘amanah’ pada diri sendiri lantas cuba menterjemahkan kegelisahan masyarakat yang terpinggir dengan mata pensil yang tajam.

Tapi engkau selama ini secara paksa cuba ‘menutup hijab’ mata sendiri dengan menidakkan ‘pemandangan’ yang nyata mengenai kehidupan dan kegelisahan masyarakat. Aku masih teringat bila engkau pernah bilang yang engkau pernah bekerja mendapat ‘gaji harian’ di satu jabatan gomen di Kangar, Perlis.

Tugas engkau mencari orang-orang dhaif bagi memastikan yang mana perlu dibantu. Tapi hara*m Ja*ah me‘REKA’ menggunakan pendekatan ‘kroni’ bagi memberi bantuan. Engkau melihat ‘tebiat’ depa dalam keadaan ‘cool’ tapi jiwa engkau gelisah. Nak di jadikan cerita jabatan tu buat ‘parti’ adan ada rakan-rakan sekerja menyuruh engkau membaca puisi.

Puisi engkau tu sangat jujur mengenai ‘ketidakadilan’ dalam menjalankan ‘amanah’ akhirnya engkau diberhentikan. Arafat gua caya sama lu. Lu jujur, cuba memperjuangkan nasib si ‘dhaif’ dengan kata-kata. Tapi sebenarnya dalam aspek akal bagi menyantuni suatu pekara, yang mana datang dulu ni! Gambaran mata kasar atau tulis dulu?

Secara alami aku rasa gambaran dulu, kenapa engkau tak merakamkan dulu melalui benda-benda bersifat ‘lakaran’! Engkau ni kena ambil pendekatan bersepadu balik bagi mencantumkan ‘kepandaian’ yang Allah beri. Bagi aku engkau ibarat wartawan yang membina cerita masyarakat melalui ‘intertekstual’ macam zaman dulu dalam menceritakan kegelisahan masyarakat ada ‘imajannya’ bagi menterjemah gambarannya itu. Engkau ada ‘kemahiran’ yang dan bukan semua orang dapat ‘anugerah’ begini darinya. Permulaan engkau berkarya berteraskan ‘institusi pemula kehidupan’ adalah ‘batu asas’ yang jujur.

Akhir kata aku ingin ucapkan taniah kepada engkau, aku dah pernah menghirup udara Kampung Balik Bukit Chuping, Perlis Indera Kayangan. Harapan aku pameran ini akan menjadi ‘ruang pemula’ bagi membetulkan ‘pasak’ dan insyallah selepas ini ‘pasakannya’ akan menjadi lebih teguh selepas…taniah Arafat.

Arafat ayuh ‘berperang’, ‘serang’ dengan ‘terang-terangan’ bukan hanya dengan kata-kata ‘nakal’ dari mata pensilmu, kamu jangan jadi ‘alatan’ untuk sesiap, jadilah ‘kamu’ sejujurnya. Sambungkan kembali jambatan yang kian terpisah dalam pengucapan lenggok ‘seni sastera’ dan ‘seni rupa’. Engkau perlu amalkan sistem “POLIGAMI” pada kedua-dua “RUANG” ini! Tapi ingat “POLIGAMI” yang aku maksudkan hanya perihal ‘seni’ bukan yang itu tau!

 

Ibnu Paiman
Ruang Kasih, Seri Manjung
6 April 2018/ esok parlimen bubar.

 

 

 

 

View All

Leave a Reply